Bringing Malaysia to the World

Archive for January, 2014

Keistimewaan Negara

Ramai yang menganggap bangunan pencakar langit,  kondominium mewah,  kereta model terkini,  keretapi laju,  lapanganterbang antarabangsa yang dinamik,  pusat-pusat membeli belah yang serba moden adalah keistimewaan Negara.

Mungkin anggapan ini benar,  tetapi rasanya ini semua bukanlah keistimewaan satu-satu Negara itu.

Keistimewaan atau keunikan Negara sebenarnya terletak dan terdapat pada perkara-perkara yang ‘terselindung’ …  perkara-perkara semula jadi yang diwarisi turun temurun masyarakat bangsa.

Binaan-binaan yang disebutkan di atas,  adalah buatan manusia dan oleh yang demikian ianya tidak kekal.

Kita perhatikan keadaan sekeliling.  Kita perhatikan binaan-binaan canggih dan moden tadi … sekejap saja ia berada dalam ingatan kita,  lepas itu ia akan lenyap dari fikiran.  Ia tidak berkekalan.  Kerana ia tidak kekal.  Binaan-binaan ini pada satu ketika nanti akan hilang dari pemandangan,  apabila muncul yang lebih baru dan lebih canggih.

Akan tetapi keistimewaan yang ‘terselindung’ ini akan berkekalan hingga berzaman.

Yang dimaksudkan di sini ialah keistimewaan yang terdapat pada keadaan dan budaya hidup kita,  keistimewaan yang tidak akan ditelan zaman,  yang merupakan warisan kita banggakan.

Kita lihat dan perhatikan anggota masyarakat Negara.  Kita perhatikan bagaimana insan dari pelbagai latarbelakang,  menganut berbagai agama,  bercakap dalam berbagai bahasa,  berinteraksi dalam pelbagai cara dan kaedah … dapat hidup dalam keadaan harmoni dan berpadu,  walaupun terdapat perlbagai usaha oleh kumpulan-kumpulan tertentu untuk meruntuhkan keadaan ini.

Inilah keistimewaan kita.  Kerana kita hidup dengan keazaman,  dedikasi dan komitmen yang lengkap,  untuk menentukan Negara menjadi ‘syurga’ kepada kita semua.

Tidak ramai di kalangan masyarakat antarabangsa yang sedar dan faham akan keadaan dan scenario ini.  Kerana kita terlalu ghairah menceritakan keindahan alam kita,  usaha pembangunan kita ke tahap Negara industri,  potensi pelancongan yang terdapat di Negara, tarian kita dan sebagainya.  Keadaan ini rasanya akan membawa pengertian dan kefahaman pada ‘permukaan’ sahaja … tidak mendalam.  Dan dipercayai ia akan lenyap dalam masa.

Inilah yang akan dipaparkan di dalam rancangan-rancangan melalui rangkaian EXOTIKA MALAYSIA mulai 12 Januari akan datang ini.

Rangkaian EXOTIKA MALAYSIA kembali ke Internet

Mulai Ahad 12 Januari ini,  rangkaian radio Internet EXOTIKA MALAYSIA akan kembali ke udara membawakan bahan-bahan yang akan memperkenalkan Negara kita Malaysia ke masyarakat global.

Buat beberapa minggu ini,  pihak kami giat mencari,  mengumpul  dan  menyediakan bahan-bahan yang sesuai untuk dipaparkan kepada kumpulan pendengar sasaran kami,  terutama mereka yang berada di perantuan dan juga mereka dari kalangan masyarakat antarabangsa yang berhajat melawat Negara ini sambil mengetahui dan memahami ehwalnya.

Rangkaian ini akan keudara,  buat sementara ini,  melalui saluran yang menyiarkan rangkaian radio Internet EPC RADIO 1bermula dari jam 9.00 malam membawa ke jam 12.00 tengah malam.  Waktu siaran ini akan diubah kepada satu waktu yang lebih sesuai kepada masyarakat pendengar kami.

Seperti yang saudara dimaklumkan,  siaran EXOTIKA MALAYSIA akan dikendalikan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.  Bahasa Melayu adalah khusus untuk warga Malaysia yang berada di luar Negara,  sama ada yang sedang melanjutkan pelajaran,  menjalankan tugas,  berniaga atau pun melancong.   Bahasa Inggeris pula adalah untuk bakal masyarakat pengunjung dari arena antarabangsa.

Apapun.  Harapan kami semoga siaran ini akan memberi faedah dan manfaat kepada masyarakat sasarannya.   Sekian dan kami ucapkan SELAMAT MENDENGAR!

Tag Cloud